DISLEKSIA MEMBAWA TUAH

    


     Pada zaman ini, disleksia bukan lagi suatu istilah yang janggal dalam masyarakat. Masyarakat umumnya menganggap disleksia ialah satu penyakit yang menyerang seseorang individu sehingga menyebabkan individu tersebut mengalami kelemahan dalam sesuatu perkara yang mereka lakukan. Ada juga masyarakat yang terus menjatuhkan hukum kepada mereka yang menghadapi disleksia ini tidak akan mampu berjaya seperti orang lain. Dalam entri kali ini, saya akan membuktikan mereka yang mempunyai disleksia ini mampu menjadi orang hebat.

    Sebelum menyambung penulisan entri ini saya akan menerangkan serba sedikit tentang disleksia. Kita mulakan dengan definisi disleksia. Disleksia berasal daripada gabungan perkataan Greek iaitu dys yang bermaksud kesukaran. Manakala lexis yang membawa maksud bahasa. Definisi terkini disleksia adalah sebagai suatu masalah kognitif (Thomson 1984 dalam Sheila & Samsilah 2006). Mohd. Sharani (2004) menjelaskan maksud disleksia adalah kanak- kanak yang tidak dapat membaca kerana tidak dapat menterjemahkan dengan betul lambang- lambang bertulis sama ada dalam huruf itu sendiri, dalam suku kata ataupun dalam perkataan- perkataan.

    Penghidap disleksia tidak dapat mengimbangi daya mengingati huruf dengan perkataan dan menghadapi masalah dalam mengingati bentuk huruf, bunyi huruf dan gabungan perkataan. Antara huruf-huruf yang sering mendatangkan masalah kepada mereka ialah huruf b dan d, dan huruf yang hampir ejaannya.

    Disleksia ini tidak akan mempengaruhi kecerdasan penghidapnya, hanya memberi kesulitan kepada mereka untuk membaca dan menulis. Tidak ada yang membezakan penghidap disleksia ini dengan orang lain secara fizikal, cumanya ketaraan mereka akan terserlah sewaktu ingin membaca, menulis dan menerima arahan. Namun, ia tidak bererti penghidap disleksia akan mengalami kesulitan selamanya dalam hidup mereka. Dalam entri kali ini saya akan menceritakan beberapa orang tokoh terkenal yang menghidap disleksia.

LEONARDO DA VINCI



    Leonardo da Vinci satu nama yang cukup agung di mata dunia. Beliau merupakan pencipta Mona Lisa dan pelukis The Last Supper. Hingga ke hari ini nama Leonarda da Vinci masih meniti di bibir masyarakat seantero dunia. Siapa sangka tokoh hebat ini merupakan penghidap disleksia. Hal ini dapat dikenalpasti oleh orang ramai kerana tulisan tangan Da Vinci. Seperti yang saya terangkan dalam penulisan di atas tadi, penghidap ini akan mengalami kesukaran dalam membezakan huruf yang lebih kurang sama.

    Da Vinci sering menulis idea-ideanya dengan tulisan tangan. Penulisan idea tersebut akan ditulis secara terbalik dan hanya boleh dibaca dengan menggunakan cermin. Pantulan daripada cermin baru akan difahami oleh orang lain. Hal ini boleh terjadi kerana kebiasaannya penghidap disleksia merupakan seorang yang kidal. Namun begitu, tidak mematahkan semangat Da Vinci dalam melayari dunia seni. Hasil seninya yang sangat terperinci telah mengagumkan seluruh masyarakat.

ALBERT EINSTEIN



    Apabila nama ini memasuki corong telinga kita, sudah pasti kita terus mendefiniskan sosok tubuh ini sebagai seorang individu yang genius. Seorang ahli fizik teori berbangsa Jerman yang telah dianggap sebagai ahli sains yang teragung pada abad ke-20. Beliau telah mengemukakan teori kerelatifan dan telah membuat banyak sumbangan dalam bidang fizik.

    Penerima anugerah Nobel dalam bidang Fizik pada tahun 1921 ini juga merupakan penghidap disleksia. Tetapi penyakit itu bukanlah penghalang kepada dirinya untuk terus memberi sumbangan kepada dunia. Einstein telah didiagnos menghidap disleksia setelah beliau gagal untuk mengingati hal-hal sederhana seperti mengingati bulan dalam setahun. Namun, dia berhasil menyelesaikan formula matematik yang sulit.

MUHAMMAD ALI



    Muhammad Ali seorang lagenda tinju yang ternyata penghidap disleksia. Sewaktu zaman persekolahan, Ali merupakan pelajar yang lemah dalam pelajaran. Guru-gurunya sering mengatakan bahawa beliau adalah pelajar yang bodoh dan tiada masa depan kerana beliau tidak dapat membaca.

    Setelah tamat persekolahan dia cuba untuk mengikuti latihan ketenteraan, namun usahanya itu gagal kerana kemampuan bahasanya yang sangat lemah. Meski begitu, siapa sangka jaguh di gelanggang tinju itu dulunya pernah di hina tetapi semangatnya yang utuh terus mendorong dirinya sehingga berjaya. Lagenda dunia itu sering dengan frasanya iaitu : Float like a butterfly and sting like a bee.

Selain mengetahui tokoh-tokoh dunia yang menghidap disleksia, saya juga akan menceritakan faktor-faktor peyebab disleksia. Antara penyebab disleksia ialah :

1.Keturunan

    Masalah disleksia telah sedia ada dalam gen keluarga kanak-kanak disleksia. Kajian perubatan di Barat mendapati kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga yang turut mempunyai sindrom berkenaan. Menurut satu kajian yang telah dibuktikan oleh Hallgren (1970) yang telah membuat kajian ke atas 12 pasangan kembar monozygote dan mendapati kesemua keluarga 12 kes tersebut menghadapi masalah dalam bacaan dan ejaan semasa zaman kanak-kanak. 

    Menurutnya juga, penyakit ini banyak dihidapi oleh kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan dengan kadar 3:1 atau 2:1. Hal ini kerana orang lelaki lebih banyak memikul tanggungjawab berbanding orang perempuan. Disleksia ini juga cenderung kepada mereka yang mempunyai anggota kidal.

2.Pemakanan

    Dalam apa jua situasi, pemakanan adalah sangat penting bagi memastikan semua nutrien cukup untuk pertumbuhan tumbesaran. Sekiranya pemakanan tidak mencukupi semasa peringkat kanak-kanak sedang membesar dengan pesat, pertumbuhan akan terencat (Bernet, 2005).

    Berdasarkan beberapa penyelidikan, kajian dan penemuan terdapat beberapa unsur penyedap makanan, bahan awet dan pewarna tiruan yang dikenal pasti menjadi pengganggu otak jika diambil secara berlebihan dalam tempoh berpanjangan terutamanya dalam fasa pertumbubuhan kanak-kanak. Antara pengganggu otak ialah monosodium glutamate (MSG), ragi, laktosa dan sebagainya.



3.Biologi

    Kanak-kanak yang penghidap disleksia biasanya mempunyai sejarah semasa dilahirkan antaranya tidak cukup bulan, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau kelahiran yang amat sukar. Faktor-faktor ini menjadi punca kelambatan atau ketidaksempurnaan perkembangan. Para penyelidik juga telah mengetahui bahawa punca masalah disleksia ialah dari fungsi otak yang memproses dan mengatur informasi secara berbeza dari lazimnya.

    Menurut pensyarah Psikologi Klinikal dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Azhar Md. Zain berdasarkan kajian menerusi mesin pengimejan resonans magnetik (MRI), kerosakan otak yang dialami golongan disleksia berkemungkinan terjadi sejak dari dalam kandungan ibu mereka lagi. Setakat yang diketahui, penghidap disleksia mengalami kerosakan saraf pada bahagian otak kiri mereka.


RUJUKAN

 

IKHMAL SABRI (Mei 2021)

 Kecelaruan bahasa. Diperoleh daripada

  https://ikhmalsabri.blogspot.com/2021/05/kecelaruan-bahasa.html

 

JURUKUNCI. NET (Disember 2013)

 7 tokoh terkenal menghidap disleksia. Diperoleh daripada

 http://www.jurukunci.net/2013/12/7-tokoh-terkenal-ini-disleksia.html

NOOR AIDA DANI ( 2017).

Asas Psikolinguistik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

NORUL HAIDA bt. HJ REDZUAN (2013)

Ilmu Psikolinguistik. Perak: Emeritus Publications.

 

PENDIDIK2U (Mac 2017)

 Maksud Disleksia. Diperoleh daripada 

https://www.pendidik2u.my/maksud-disleksia/

Comments